Selasa, 28 April 2009

Remaja sebagai pemimpin akan datang..

0 comments

KEPEMIMPINAN elemen penting dalam kehidupan seseorang manusia. Apabila kita mampu memimpin diri ke arah syahsiah cemerlang, ia satu kejayaan sebelum kita memimpin orang lain. Kepemimpinan yang baik akan menjadikan kehidupan kita bersama manusia lain di dunia ini dapat diseimbangkan ke arah membentuk generasi al-Quran.

Remaja hari ini menjadi satu kelompok besar yang perlu diberi perhatian demi kepentingan negara dan umat Islam seluruhnya. Remaja adalah pewaris bangsa dan bakal pemimpin pada masa hadapan. Justeru, latihan dan bimbingan secukupnya perlu diberikan bagi memastikan mereka bersedia untuk memimpin kelak.

Kesempatan ketika remaja masa paling sesuai untuk menyuburkan budaya ilmu dan kepemimpinan kerana mereka lebih mudah menerima kebenaran dan bimbingan. Hakikat ini ditunjukkan ketika Nabi Muhammad mula menyebarkan ajaran Islam, golongan muda yang menyatakan sokongan dan seterusnya beriman dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah itu.

Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa remaja adalah aset dan golongan yang sangat perlu dipelihara kerana masa depan sesebuah masyarakat dan negara terletak sepenuhnya di bahu mereka. Mereka adalah pewaris yang sah kepada tamadun masa kini untuk dilanjut dan dipertingkatkan kualitinya pada masa akan datang.

Remaja hari ini diingatkan bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan demi memelihara keagungan agama, bangsa dan umat seluruhnya.

Tidak dinafikan remaja aset yang sepatutnya dijaga dan diasuh sebaik mungkin ibarat menatang minyak yang penuh. Bahkan Rasulullah menggariskan panduan yang sewajarnya diikuti dalam mendidik anak. Ini ditunjukkan menerusi sabdanya yang bermaksud: “Ajarlah anak kamu bersolat ketika umurnya tujuh tahun dan pukul mereka (seandainya enggan) apabila umurnya 10 tahun.”(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Kedua-dua contoh di atas menunjukkan betapa Islam memandang serius terhadap didikan anak. Tempoh umur antara kanak-kanak hingga zaman remaja waktu yang paling berharga dan penting kepada setiap manusia.

Pada masa ini proses perkembangan jiwa dan minda berlaku. Justeru, remaja perlu kental dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam hidup di samping memiliki iman yang teguh. Jika tidak, sudah tentu mereka akan mudah terjerumus dan terperangkap ke lembah kebinasaan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Kedua-dua kaki anak Adam itu tetap akan berdiri di hadapan Tuhannya pada hari kiamat kelak sehingga selesai ditanya empat perkara:

  • Umurnya untuk apa dihabiskan;
  • Masa mudanya untuk apa dipergunakan;
  • Hartanya dari mana diperoleh dan untuk apa dibelanjakan;
  • Ilmunya apa yang sudah dibuat dengannya.”

Berdasarkan maksud hadis itu, jelaslah setiap manusia akan dipersoalkan setiap perkara yang dikurniakan kepadanya termasuk peluang yang diberikan ketika muda. Umum mengetahui, banyak perkara boleh dilakukan pada masa muda kerana pada usia sebeginilah kita dikurniakan tubuh yang sihat, bertenaga dan cerdas akal fikiran. Amat rugilah jika kesempatan sebegini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Comments

0 comments to "Remaja sebagai pemimpin akan datang.."

Photobucket

-:My Personality:-

Click to view my Personality Profile page
 

Copyright 2010 All Rights Reserved DevilM@yCry by ナスルン